Sangatlah penting untuk anda membuat penyelidikan terperinci tentang lelongan hartanah dan fahami bagaimana ia berfungsi supaya tidak tersilap langkah dan mengalami kerugian.
Berikut adalah beberapa perkara yang anda boleh lakukan sebelum menyertai lelongan hartanah.
Kenalpasti Rumah Lelong
Selidik dahulu lokasi rumah lelong supaya anda tahu jika anda akan menyukai kawasan tersebut dan pada masa yang sama dapat bersiap sedia dari segi kewangan.
Sebagai contoh, anda mungkin lebih berminat dengan hartanah di Mont Kiara, Kota Damansara, atau Cheras kerana kawasannya yang lebih membangun.
Oleh itu, anda boleh lawati dahulu sekitar rumah lelong dan bandingkan harga rizab lelongan dengan harga hartanah yang serupa di situ supaya anda tahu tawaran harga yang berbaloi untuk dibida.
Jumpa Pemaju dan Pejabat Tanah
Seterusnya, semak dengan pemaju dan pejabat tanah tentang hartanah lelong tersebut. Pastikan anda catat semua butiran penting seperti:
- Nombor lot hartanah
- Alamat
- Status hak milik
- Lokasi
- Harga Rizab Lelongan
Anda juga perlu mendapatkan Pengisytiharan Jualan atau ‘Proclamation of Sale’ (POS).
Periksa Rumah Lelong & Kawasan Sekitar
Jika anda sudah tahu rumah lelong mana yang hendak dibida pada lelongan tertentu, adalah lebih baik jika anda boleh pergi ke rumah tersebut dan lokasinya.
Lakukan pemeriksaan terperinci supaya anda dapat menggambarkan apa anda bakal perolehi.
Selain itu, jangan lupa untuk mendapatkan satu salinan Pengisytiharan Jualan yang mengandungi maklumat penting mengenai hartanah lelongan.
Dapatkan bantuan Peguam
Mengupah peguam untuk menyelesaikan urusan membeli hartanah lelong adalah sangat penting, terutamanya untuk hal-hal yang berkaitan dengan cukai taksiran dan cukai tanah.
Peguam juga dapat membantu mengkaji pembayaran penyelenggaraan yang tertunggak dengan pemaju, serta terma dan syarat yang terkandung dalam dokumen POS.
Bersiap Sedia untuk Lelongan
Pastikan anda menyediakan jumlah deposit yang diperlukan untuk lelongan.
Apabila melangkah masuk ke dewan lelongan, anda dikehendaki untuk menunjukkan bank draf dan kad pengenalan anda – dua benda yang paling penting untuk dibawa ke lelongan hartanah!
